‘Hari Bapa’ adalah satu hari yang dikhaskan kepada semua bapa, ayah, abah, walid, wahid, abi, apak, bapak, father, daddy dan papa di seluruh dunia. Hari Bapa telah bermula pada awal abad ke-12 untuk kaum lelaki menyambut hari khas kebapaan dan bagi memberi perhatian, penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Tanpa Adam siapalah Hawa dan begitu juga sebaliknya, kedua-duanya saling melengkapi. Bertuahlah bagi sesiapa yang telah menjadi bapa kerana anda telah diberikan satu hari untuk diiktiraf.
.
Sejarah ‘Hari Bapa’
Idea sambutan hari bapa dicetuskan oleh Sonora Dodd, seorang wanita kelahiran Arkansas, Amerika Syarikat pada tahun 1910. Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Jackson Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil di Spokane, Washington. Sambutan Hari bapa yang pertama juga diadakan di situ pada 19hb. Jun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart bapa tunggal tersebut.
.
‘Hari Bapa’ atau ‘Father’s Day’ disambut pada tarikh yang berbeza di seluruh dunia. Di Malaysia dan 88 negara lain, ianya disambut pada hari Ahad minggu ke tiga bulan Jun setiap tahun. Meskipun begitu perayaan ‘Hari Bapa’ di Malaysia tidaklah semeriah dan sepopular sambutan Hari Ibu, malahan sering kali kehadirannya dilupakan dan tidak disedari pun oleh khalayak ramai.
..
Derhaka
.Islam mengangkat darjat ibu bapa dengan begitu tinggi sekali, setiap hari mereka perlu dihormati, sentiasa dengan tersenyum, berdoa dan tidak meninggikan suara pada Ibu dan bapa.
.
Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas ra berkata: “Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu ia pagi-pagi ia taat dan baik pada keduanya melainkan Allah SWT membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah SWT redha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya sehingga mendapat redha dari keduanya. Ditanya: Walaupun orang tua itu zalim? Jawabnya: Walaupun zalim. Dan di dalam hadis marfu‘ ada tambahan: dan tiada pagi-pagi ia derhaka (menyakiti hati) orang tuanya melainkan Allah SWT bukakan baginya dua pintu neraka dan jika hanya satu maka satu.”
.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
.
Abi Bakrah radhiallahu ‘anh berkata, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertanya tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”
Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”
Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.”
.
Abdullah bin Umar r.a. berkata: “Seorang datang kepada Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Saya ingin berjihad (perang fisabilillah).” Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallambertanya: “Apakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Jawabnya: “Ya, kedua-duanya.” Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Di dalam melayani keduanya harus berjihad.”
.
Hadis ini menunjukkan bahawa taat bakti kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fisabilillah, sebab menyuruh orang itu berbakti kepada orang tua dan berjihad. Kerana itu maka seseorang tidak boleh keluar untuk tujuan jihad jika tidak diizinkan oleh kedua orang tuanya selama panggilan jihad itu tidak umum, maka tetap taat kepada orang tua lebih afdhal dari jihad fisabilillah.
..
Tanggungjawab
.Bahz bin Hakim dari ayahnya dari neneknya berkata: “Saya tanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya Rasulullah, siapakah harus saya taat?” Jawab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ibumu.” “Kemudian siapakah?” tanya saya lagi. Jawab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ibumu.” Saya bertanya sekali lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ibumu.” “Kemudian siapa?” tanya saya lagi. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Bapamu, kemudian yang terdekat dan yang dari kerabat.”
.
Pihak bapa janganlah berkecil hati. Tahukah mengapa ibu diberi tiga kali keutamaan melebihi ketaatan kepada bapa? Ini adalah disebabkan keistimewaan dan fitrah dimiliki kaum ibu yang tidak dimiliki oleh si bapa dalam tugasan mengandung, melahirkan dan menyusukan anak.
.
Bapa juga berat tanggungjawabnya kerana memikul tanggung jawab di dunia atas segala kehidupan anak dan isterinya, dan lihatlah betapa besar tanggungjawab akhirat bapa atas mendidik anak dan isteri. Selain semua itu bapa juga adalah tulang belakang, sandaran, dan pelindung dalam sebuah rumah tangga.
..
Menghormati
.Hari Bapa adalah hari untuk menghormati bapa. Kebiasaannya Hari Bapa dirayakan dengan pemberian hadiah kepada bapa dan melakukan kegiatan kekeluargaan. Meraikan bapa tidak sewajarnya dilakukan cuma pada satu hari itu sahaja kerana kasih sayang mahu pun kebajikan bapa hendaklah dipelihara berterusan sepanjang tahun iaitu perlu juga dikasihi pada 364 hari yang lain.
Mahu memberikan hadiah tanda kasih, tiap-tiap bulan pun boleh atau jika dengan hanya bertanya khabar, itu sudah lebih dari cukup untuk menghiburkan buat ibu dan bapa. Indahnya dunia jika ikut Islam . Kalau ibu dihormati dan miliki keistimewaan ‘Syurga di bawah kaki Ibu’, tetapi bapa adalah lebih lagi dengan ‘Surganya Ibu di bawah tapak kaki bapa (suami)’.
.
Sesiapa yang sudah berkahwin, jangan lupa ‘Bapa Mentua’ tarafnya pun sama dengan bapa kita juga. Sekiranya masih mempunyai bapa, sayangilah bapa selagi ia masih ada, lawatilah dan hubungilah dia. Kesempatan berkumpul itu bolehlah dilakukan solat berjemaah di rumah atau bersama-sama ke masjid. Seandainya tinggal bersendirian, carikanlah jodoh dan penemannya agar kehidupan beliau sentiasa tenteram dan bahagia di hujung usia.
.
Jika bapa sudah tiada di dunia ini, sedekahkanlah pahala bacaan Al-Quran dan amal soleh untuknya. Mereka pasti sentiasa mengharapkan anak, cucu, cicit dan seluruh keturunan beramal soleh dan mendoakan mereka. Santuni dan jalinkanlah tali silaturahim dengan rakan-rakan lamanya dan anggap mereka seperti bapa sendiri.
.
Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jangan memutus hubungan pada orang yang dahulu kawan baik pada orang tuamu, nescaya akan padam nur cahayamu.”
Seorang dari suku Bani Saliman datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya: “Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada jalan untuk berbakti pada keduanya sesudah mati itu?”
Jawab Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ya, membaca istighfar untuk keduanya dan melaksanakan wasiat keduanya dan menghormati sahabat-sahabat keduanya dan menghubungi keluarga dari keduanya.”
.
Firman Allah SWT :
Maksudnya: “Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israa’:24)
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
.
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
.
Posted by; shafiqolbu
No comments:
Post a Comment