Saturday, 13 October 2012

Ketika Hati Menangis


Tuhanku….
ketika hati menangis, hanya kau saja yang tahu

Tuhanku….
Ketika mereka meninggalkan aku sendiri
Ketika dunia tiada simpati, Kau tetap mendengar rintihanku
PadaMu tempatku menagih kasih
Ketenangan kurasa mendekatiMu
Syahdu malam tak terasa sunyi

Tuhanku….
Ketika aku dalam kepayahan, dalam kesendirian dihimpit cobaan
Kau beri aku kesabaran, pengalaman mengajar arti kematangan
Lantas Kau membuka pintu hatiku, untuk memberi kemaafan
Pada mereka yang pernah melupakanku

Tuhanku….
Ketika aku buntu
Kau berikan aku kekuatan, kau tunjukkan aku jalan
Kau tak biarkan aku sendirian

Tuhanku….
Yang Maha Pengasih, Rahmatmu tak terkira
Syukurku melangit pun tak tercapai
Sungguh aku merasa berdosa karena dulu sering lalai
Semoga penyesalanku Kau terima



Buat Calon Suami



Pernikahan atau Perkahwinan,
 Menyingkap tabir rahsia …
 Isteri yang kamu nikahi,
 Tidaklah semulia Khadijah,
 Tidaklah setaqwa Aisyah,
 Pun tidak setabah Fatimah …
 Justeru Isteri hanyalah wanita akhir zaman,
 Yang punya cita-cita, Menjadi solehah …

Pernikahan atau Perkahwinan,
 Mengajar kita kewajiban bersama …
 Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya,
 Isteri ladang tanaman, kamu pemagarnya,
 Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya,
 Isteri adalah murid, kamu mursyidnya,
 Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya ..
 Saat Isteri menjadi madu, kamu teguklah sepuasnya,
 Seketika Isteri menjadi racun, kamulah penawar bisanya,
 Seandainya Isteri tulang yang bengkok, berhati2lah meluruskannya …

Pernikahan atau Perkahwinan,
 Menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa …
 Untuk belajar meniti sabar dan redha,
 Karena memiliki isteri yang tak sehebat mana,
 Justeru kamu akan tersentak dari alpa,
 Kamu bukanlah Muhammad Rasulullah atau Isa As,
 Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamaullahhuwajah,
 Cuma suami akhir zaman, yang berusaha menjadi soleh …

Sebening Air Mata


Air mata..
 Zahirnya titisan bening terbit dari pelupuk mata
 Mengalir kala kolam sepasang mata tiada mampu mengempangnya
 Namun..
 walau hanya titisan air tampak tiada harga
 memberi sejuta makna pada pemilik raga
 Ekspresi gelojak dan rasa di jiwa

Air mata dan tangis…
 Bahasa pertama seorang manusia
 untuk dewasa mencari punca
 apa ingin dikhabar si kecil tercinta
 Inginnya, sakit, lapar,takut, tidak selesa
 tangisan dan air mata menjadi bahasa

Air Mata dan tangis
 Kala sanubari dirangkul gembira..
 Titis itu cermin terharu dan bahagia
 Menggamit insan memandang ikut ceria
 menangis gembira hati bahagia

Air Mata…
 Kala kesakitan tiada terperi
 Titis itulah bercerita pada pemerhati
 walau ulas bibir rapat terkunci
 cukup buat insan mengerti

Air Mata..
 Kala sanubari dihimpit duka
 titis itu teman derita
 meringan beban hati sengsara
 Engkaulah teman kala bahagia dan nestapa

Air Mata..
 Engkaulah teman rafik raga dan sanubari
 Engkau hanya biasa bagi yang tidak mengerti
 hakikatnya engkaulah pembela di akhirat nanti
 jika gugurmu kerana Ilahi

Air Mata..
 Gugurlah engkau kerana takutku pada yang Esa
 Gugurlah engkau kerana takutku pada azab di alam baqa
 Gugurlah engkau kerana takutku pada azab neraka
 Gugurlah engkau kerana takutku menghadapi dahsyatnya akhirat sana

Gugurlah engkau kala keinsafan di atas segala dosa
 Gugurlah engkau kala rasa hinanya diriku di sisi Yang Esa
 Gugurlah engkau kala kumemohon diampun dosa dan alpa
 Gugurlah engkau kala kumemohon taubatku diterima

Gugurlah engkau kala kumemohon petunjukNya
 Gugurlah engkau kala kumemohon bantuanNya
 Gugurlah engkau kala ku memohon mati dalam rahmatNya
 Gugurlah engkau kala kumemohon menghuni syurgaNya

Gugurlah engkau kala kumengharap redhaNya
 Gugurlah engkau kala kumengharap cintaNya
 Gugurlah engkau kala kurindu pada Pencipta
 GUgurlah engkau kala kurindu hampir padaNya
 Gugurlah engkau kala ku rindu pada kekasihNya

Gugurlah engkau kala kusujud pada yang Kuasa
 Gugurlah engkau kala kutadabbur Kalam yang Esa
 Gugurlah engkau kala zikirku pada Yang Kuasa
 Gugurlah engkau kerana Yang Esa

kerana kuingin setiap titismu menjadi pembelaku
 kerana kuingin setiap titismu menjadi saksiku
 kerana kuingin setiap titismu menyelamatkan diriku
 kerana kungin setiap titismu membawa ku ke syurga idamanku
 kerana kuingin setiap titismu kudapat melihat wajah Rabbku..
 kerana kuingin setiap titismu bawa bahagia abadi buatku
 walau engkau hanya setitis air membasahi pipi

Jangan jadikan perkahwinan pusara cinta



Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.
 Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya derhaka. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Pantang tersilap berhamburan kata-kata menusuk kalbu. Dek tekanan pekerjaan dan hidup, isteri dan anak-anak dijadikan tempat melepaskan amarah dan geram. Lebih dahsyat lagi tubuh isteri yang sewajarnya dibelai dengan penuh kasih sayang dijadikan ‘punch bag”. Terkadang menerjah juga di benak si isteri, telah hilangkan cinta. Inikah tanda dia menyayangi. Pelbagai sangkaan menyelinap di ruang hati. Lantas syaitan memasukkan jarumnya. Hasutan demi hasutan agar dua insan menjauhkan diri dari RabbNya.

Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam.Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Keikhlasan berganti keterpaksaan.Pahala yang ingin diraih tetapi dosa yang digalas.Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.  Segala-galanya menjadi semakin suram dan bungkam… seakan-akan pusara.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Setiap sen pendapatan suami aku yang punya. Pantang suami keluar rumah deringan telefon suami berbunyi berselang 15 minit. Setiap inci jejak sisuami kalau boleh hendak diselidik.Bertalu-talu soalan ibarat M16 apabila suami terlewat tiba. Pantang ditegur suami, menyinga amarahnya…katanya terlalu mengongkong.Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Dibiarkan suami sendiri. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Arahan suami mesti ditunai segera, jangan bertangguh jangan sekejap lagi. Aku suamimu aku syurgamu. Boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Memberontak dalam diam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Antaranya  sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh menunjukkan protes, wajah masam mencuka, membalas dengan perlakuan yang kasar, tutur kata yang menghiris hati sisuami,memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur dan pelbagai lagi ragam yang menumpukkan dosa-dosa. Ah di manakah kekuatan cinta..di manakah janji-janji..di manakah letakknya Allah..kerana ego dan emosi mendahului iman tiada lagi rumahku syurgaku yang terbina rumahku nerakaku.

Itulah walhasilnya tatkala ego dan emosi membelenggu jiwa. Cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

 Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Hati berparut dan luka yang menanah. Tautan hati seolah-olah telah tiada. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
 “Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?

Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:
 “Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
 Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!

Wednesday, 10 October 2012

Pagi minggu yang malas

Pagi...cahaya terang dijendela halus
dingin hawa memukau malas
masih bergelut selimut 
mata yang masih separuh buka
menjenguk malas dicermin diam
malas tak mau bangun
membiarkan mungkin mata membengkak
bersama bantal empuk yang setia sejak semalam....
tumpuk tumpuk peta jelas kelihatan
melerit panjang dikulit bantal
tidur mati agaknya malam tadi
melepas geram bersama rempit durjana
atau mungkin lupa bahawa esoknya hari minggu

Matahari pagi semakin terik
bangunlah wahai tubuh yang masih terbaring
dibalik selimut putih...
lupakan semua khayalan
hilangkan dendam geram semalam
hilangkan mimpi indah tersirat
bergerak pantas..
semangat dihujung minggu
kerana perjalan masih jauh..

...sakagliwan5...07/10/12
Promenade Apartment