“Kebangkitan yang nyata atau sebaliknya….”
1) Tahun belakangan ini banyak meninggalkan kita dengan berbagai-bagai catatan sejarah,kita melakar banyak lembaran sejarah untuk ditinggalkan kepada generasi baru yang akan kita tinggalkan nanti.Saya mengandaikan kejadian yang sudah berlaku sebagai satu kebangkitan Nasionalisme yang membawa impak yang besar secara keseluruhannya kepada Bangsa Bangsa Borneo.Walaupun hal yang demikian masih juga terdapat segelintir daripada Bangsa Bangsa Borneo yang masih belum mengikuti sepenuhnya perjuangan dalam kita menuntut hak-hak sebagai orang asal (The Indigenous people of Borneo).
2) “Apabila kebangkitan mulai terjadi maka akan wujudnya pertembungan dua sisi kuasa yang lahir secara automatik dalam kalangan para pemikir-pemikir dan berdiri di sudut sebagai penentang atau penyokong”
3) Adakah Sabah benar-benar sedang mengalami kebangkitan yang menyeluruh ataupun untuk hanya suatu ketika sahaja,bersifat sementara? Adakah kerana wujudnya jaringan komunikasi yang tidak bersempadan yang menjadi kepada pemangkin kebangkitan Nasionalisma ataupun ini adalah suatu kebangkitan nyata yang kita tunggu-tunggu selama ini.Sehinggah ada yang mengertikan perjuangan ini hanya untuk mewakili kepentingan-kepentingan pihak dan peribadi tertentu.
4) Saya ingin menimbulkan satu kritikan terbuka di sini; Adakah kita benar-benar mahu berdiri di atas jalan raya dan tunjukkan semangat kebangkitan kita ataupun hanya kerana kita mahu dilihat dan dikenali sebagai ‘seorang yang bakal dikenali’.Manusia cenderung kepada perkara-perkara yang dapat menonjolkan keperibadian mereka,perasaan ingin tampil menonjol.Persoalanya, adakah segelintir kita yang mengambil peranan dalam perjuangan kebangkitan rakyat hanya sekadar ingin memenuhi keinginan untuk menguasai dan kekal menonjol dalam kumpulan manusia.
5) Kebangkitan Nasionalisma yang kita hadapi sekarang memiliki banyak sebab,yang lahir daripada individu perseorangan ataupun dalam kelompok masyarakat itu sendiri.Setiap individu mempunyai alasan tertentu untuk meletakkan sebab mengapa mereka harus menempatkan diri dalam perjuangan ini.Kesusahan hidup saban hari yang menyusahkan dan menjadi kekangan hidup adalah antara punca yang umum ketahui.Bagi generasi yang tua mereka mengharapkan keadaan sepatutnya dapat dipulihkan agar keturunan yang bakal mereka tinggalkan dapat menjalani penghidupan dengan wujudnya “System” keadilan (Justice) dan kesamarataan (Equality) daripada pemerintah,yang akan menjamin sebuah kehidupan yang lebih maju dan baik.Kebangkitan daripada generasi muda dikenal pasti atas faktor telah disisihkan dan diabaikan oleh “Education System” dan tidak ada kerjaya yang ditawarkan selepas tamat universiti.Selain daripada itu, persaingan yang wujud atas desakan dan keperluan hidup,masyarakat itu merasakan diri mereka tidak menerima hak-hak yang sepatutnya ataupun terjadinya percabulan terhadap hak-hak mereka,banyak hak-hak atas perjanjian yang telah dilanggari dan dimungkiri oleh pemerintah.
6) Kadang kala kita tidak harus menyimpan sokongan yang berterusan kepada mana-mana perjuangan,adakalanya seseorang harus berada di posisi yang bertentangan dengan mana-mana karakter manusia yang sedia wujud.Karakter manusia yang akan munculkan banyak persoalan terhadap mana-mana pendapat atau tindakan yang diutarakan.Sama seperti perjuangan politik Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, banyak individu yang mengertikan perjuangan beliau seperti ‘katak’ yang melompat kerana bertukar tukar parti politik. Tidak semuanya perkara dalam keadaan yang membawakan kebenaran,manusia sangat mudah untuk melakukan kesilapan,apabila individu menjadi taksub kepada mana-mana fahaman atau pergerakan, maka mereka akan selalu memikirkan bahwa tindakan mereka itu adalah benar,sedangkan ianya hanya bersifat untuk mempertahankan situasi ataupun fahaman pergerakan yang mereka anggotai.Kebenaran diketepikan dan ini menimbulkan konflik dalam masyarakat itu sendiri.
7) Kita tidak mahu perjuangan itu menjadi suatu kesia siaan.Memperjuangkan hak-hak kita yang telah ditindas tidak sepatutnya bakal meletakkan diri kita rakyat biasa dalam kelompok sama seperti ahli politik.Pemikiran kita tidak sepatutnya dihalakan sama seperti pemikiran seorang ahli politik.Kita sedaya upaya meletakkan fikiran dan hati kita seperti seorang rakyat biasa yang berfikiran sederhana,hidup bersederhana,semuanya dalam keadaan yang serba serbi sederhana.Hanya melalui pemikiran yang sederhana maka kita tidak akan membiarkan perasaan tamak berada dalam diri kita.Tamak untuk berfikir untuk cuba menguasai tempat teratas.Situasi politik bakal meletakkan manusia dalam keadaan yang kusut dan merosot,apabila kepentingan diri menjadi keutamaan dan penguasaan dalam semua bentuk kebendaan,bersifat materialistik,maka fikiran yang tidak stabil menjadikan penindasan berlaku terhadap rakyat bawahan.
8) Adakah rakyat Sabah sebenarnya terlalu fanatik atau taksub terhadap situasi yang melanda Borneo seperti “Tsunami Politik Sabah” sejak kebelakangan ini?Sehingga wujudnya dakwaan dengan kelompok pemisah (secessionist) dan budaya ekstrimis (Extremism).Kesilapan nyata yang sering manusia itu lakukan ialah apabila kita menjadi terlalu fanatik akan sesuatu keadaan.Menjadi terlalu fanatik terhadap mana mana fahaman ataupun pergerakan yang akan menghadkan pemikiran manusia itu, ia akan menghadkan keupayaan otak untuk berfikir kearah perkara yang lebih positif dan tiada standard toleransi terhadap sesuatu idea lain yang diutarakan oleh kelompok penentang. Samada kita mendahagakan kehadiran seorang pemimpin sejati yang akan bakal membawa kita keluar dari situasi politik sabah yang belum matang,ataupun perbuatan pemimpin terdahulu yang telah banyak meninggalkan kita dengan keperitan sehingga mengundang perasaan tidak percaya terhadap mereka yang kita sandarkan tanggungjawab sebagai seorang ahli politik sejak sekian lama abad pemerintahan.
9) Kebergantungan masyarakat terhadap kemodenan dan kecanggihan teknologi moden ; adakah faktor ini yang menjadi pemangkin kepada banyaknya kebangkitan daripada kalangan Bangsa Borneo.Persoalannya, adakah kemajuan teknologi yang bersifat perlahan untuk meresap masuk dalam Sabah menyebabkan kita tertinggal banyak pendedahan maklumat sejarah yang dapat mematangkan fikiran malah keputusan politik itu sendiri.kekangan teknologi dan informasi dan pendidikan itu sendiri yang telah mengekang dan gagal menjadi jambatan kepada perubahan politik yang lambat matang dalam situasi politik Sabah.
10) Walaubagaimanapun, di sebalik kita merungkaikan akan kehebatan teknologi moden yang menjadi pemangkin kepada banyaknya pendedahkan luar terhadap kebenaran sejarah yang terhad selama ini bagi pengetahuan umum, adakah kamu percaya kepada kehebatan teknologi maklumat moden yang akan membantu perkembangan politik sabah, ataupun kita perlu juga bergantung kepada “People Power Revolution” yang pernah ada suatu ketika dahulu sehinggahlah tercetusnya demonstrasi tunjuk perasaan (Silent Riot) tahun 1986; sebagai akibat keputusan pilihan raya tahun 1985 yang telah dimenangi oleh PBS yang sekaligus berjaya menumpaskan Parti Berjaya. Selain itu, melakukan mogok lapar (Hunger Strike) seperti yang pernah ditimbulkan dan diguna pakai oleh Conrad Mojuntin pada suatu ketika dulu untuk mempersoalkan Perkara 20 kepada Kerajaan yang mentadbir pada masa itu,dan tragedi Double Six yang telah mengorbankan abangnya Peter Mojuntin. Adakah Bangsa Bangsa Borneo bersetuju untuk mggunakan “People Power Revolution” bagi tujuan menyemarakkan lagi situasi kebangkitan rakyat pada hari ini,yang pernah digunakan oleh generasi terdahulu.
11) Adakah “Kumpulan Elite” yang diasaskan oleh saudari Doris Jones bergantung semata-mata kepada kecanggihan teknologi kini untuk membantunya berkembang pantas.Persoalannya,apakah yang menjadi pemangkin kepada pergerakan “Kumpulan Elite” ini? Ataupun pengaruh teknologi moden yang telah menarik minat rakyat Sabah khususnya anak-anak muda yang terdedah kepada “Revolusi Smartphones” dan “Social Networking”.Liputan meluas dengan kuasa pengguna di hujung jari melalui laman popular sosial “Facebook” dan wujudnya “Keyboard Warrior” telah tanpa kita sedari telah menimbulkan situasi yang kita gelarkan “Fanaticism” dalam kalangan individu yang tertentu melalui pergerakan kumpulan ini.Namun pun demikian, kita tidak meletakkan apa-apa teori yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan ini,kerana kita tidak akan mampu untuk mengawal sesuatu keadaan dan kebangkitan untuk berlaku dalam mana-mana keadaan manusia yang inginkan perubahan hidup dan kekalkan hak-hak mereka daripada diragut,serta berlaku perlanggaran banyaknya Perjanjian dan Hak.
12) Apabila kerajaan mulai memandang serius terhadap pergerakan yang dianggotai oleh hanya sebilangan kecil kelompok masyarakat ;masyarakat yang bangkit memberontak terhadap sistem yang diamalkan oleh pemerintah.Kerajaan lebih cenderung melihat kewujudan “kumpulan kecil” daripada melihat kepada permasalahan besar yang sudah lama ditimbulkan oleh kebanyakkan “kumpulan besar” yang lebih menonjol.Sehinggahkan tiada tindakan susulan yang diambil untuk menghalang tindakan mereka (kumpulan besar)itu.Sedangkan isu yang ditimbulkan oleh “kumpulan besar” itu yang menyumbang kepada isu-isu sensitif berkaitan agama dan diskriminasi kaum.Perencanaan yang diaturkan oleh pemerintah untuk mengucar kacirkan keadaan,mereka yang berdiri di sebalik semua isu-isu yang ditimbulkan oleh “kumpulan besar” ini.
13) Akhir sekali,pada pendapat peribadi saya, agar kita tidak terlalu fokus dengan pertumbuhan pembangunan moden kita.Kita semua memang berhasrat dan mengimpikan suatu keadaan yang juga terjadi pada kita di Borneo,iaitu kita juga mengalami perubahan kemodenan sepertimana mereka (Malaya) sudah bahkan sedang kecapi,namun keadaan yang sederhana tanpa mencapai kemodenan pembangunan seratus peratus juga membolehkan kita untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik,iaitu apabila kita hidup dalam institusi kemanusiaan yang lebih baik,di mana adat,budaya antara semua etnik Borneo dapat dikekalkan tanpa mengalami sebarang pindaan atas alasan dasar arus kemodenan,serta agama bebas diamalkan oleh setiap orang asal tanpa penghapusan identiti sesuatu bangsa itu,generasi yang bakal mendatang masih dapat menikmati keindahan hutan-hutan dan laut hanya sekiranya kita tidak membenarkan sebarang penerokaan dan pemusnahan alam semula jadi untuk berlaku atas dasar pembangunan moden semata mata.Kerana kita bukannya mahu meneruskan hidup mengejar arus pembangunan tapi untuk menuntut hak-hak asasi manusia,keperluan asas kehidupan,sehinggah kita mencapai tahap ini maka kita dapat mengalami asas kepada kehidupan yang sebenar benarnya.Kita menjauhi segala keperluan kepada kehidupan materialistik yang hanya bersifat sementara.Akhir sekali, jangan jadikan dunia politik sebagai batu loncatan untuk menjadi kaya.